Sejarah Hari Nuzul Al-Quran
Peristiwa Nuzul Al-Quran
merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur’an yang pertama kepada Nabi
Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap
sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.
Ketika baginda sedang beribadat di Gua
Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan “Nuzul” bererti
turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran
adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar
kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan
Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril
ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam
pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam
al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan
dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran?
Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang
rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab
Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah
menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya
engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu,
turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini
diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari
Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah
kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada
Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril
datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT
menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah
al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik
daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para
sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan
bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam
yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi
sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya.
Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad
beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya
kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada
perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan
makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan
fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial,
perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya
terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan
membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan al-Quran pula
didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca
adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi
dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan
ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara
perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana
sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu
pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari
anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir
zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah
maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada
malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat
melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita
akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita
seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun.
Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia
kita dalam ibadah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar